Sunday 6 May 2012

SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM


PENGENALAN
Selaras dengan Program Transformasi Pendidikan, mulai tahun 2012, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam. Sistem pentaksiran baharu ini adalah cetusan idea oleh mantan Ketua Eksekutif MPM, Tuan Haji Omar bin Abu Bakar (2005-2011).

SISTEM PEPERIKSAAN STPM SEDIA ADA
Peperiksaan STPM yang sedia ada dikendalikan berdasarkan kepada tempoh pengajian tingkatan enam selama 1½ tahun. Tempoh pengajian ini terdiri daripada tingkatan enam bawah yang meliputi penggal kedua tempoh persekolahan, dan tingkatan enam atas yang meliputi penggal pertama dan penggal kedua tempoh persekolahan. Peperiksaan bagi pengajian tingkatan enam adalah untuk mengukur dan menilai pencapaian pelajar yang dilaksanakan keseluruhannya melalui peperiksaan STPM pada penghujung pengajian, iaitu pada bulan November hingga Disember.

PEPERIKSAAN STPM TAHUN 2012
Pada tahun 2012, sistem peperiksaan STPM akan dijalankan dalam dua mod.

Mod pertama ialah bagi pelajar yang sedang mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort terakhir sistem peperiksaan STPM sedia ada yang akan menduduki peperiksaan pada bulan November hingga Disember pada tahun 2012.

Mod kedua ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012.

PUNCA KUASA
Pada 4 Januari 2012, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) telah bersetuju meluluskan pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan STPM sedia ada untuk sesi pengambilan tahun 2012/2013. Keputusan ini merupakan punca kuasa untuk MPM melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bermula sesi persekolahan 2012 bagi tingkatan enam bawah.

SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM
Dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian tingkatan enam adalah sama dengan tempoh persekolahan mengikut kalendar persekolahan yang dilaksanakan pada masa ini.

Peruntukan waktu pengajaran juga adalah sama seperti jadual waktu persekolahan yang sedia ada bagi tingkatan enam, iaitu lapan (8) waktu seminggu bagi setiap mata pelajaran (1 waktu pengajaran = 40 minit). Oleh itu, sistem pentaksiran baharu STPM ini tidak mengganggu dan tidak mengubah sistem persekolahan sedia ada.

Dari segi penawaran bilangan mata pelajaran juga tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran yang ditawarkan seperti yang berikut:


                                Kod     Mata Pelajaran              Kod   Mata Pelajaran  


                                900  Pengajian Am                     946  Pengajian Perniagaan
                                910  Bahasa Melayu                    948 Perakaunan  
                                911  Bahasa Cina                        950  Mathematics (M)
                                912  Bahasa Tamil                      954  Mathematics (T)
                                913  Bahasa Arab                        956  Further Mathematics
                                920  Literature in English        
                                922  Kesusasteraan Melayu         958  Information and Communications
                                        Komunikatif                                 Technology
                                930  Syariah                                 960  Physics
                                931  Usuluddin                             962  Chemistry
                                940  Sejarah                                964  Biology
                                942  Geografi                               966  Sains Sukan
                                944  Ekonomi                               970  Seni Visual


Kandungan pengajiannya dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun. Pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.

Aspek kemahiran insaniah (soft skills) diterapkan dalam kurikulum sistem ini, yang antaranya meliputi kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepemimpinan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengurusan maklumat, etika, dan lain-lain.

Dalam aspek pentaksiran pula, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan, iaitu PBS dengan wajaran 20% hingga 40%, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. (Peratusan wajaran berbeza mengikut mata pelajaran).

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
PBS merupakan kerja kursus yang terdiri daripada kerja projek, kajian luar, dan kerja amali yang diperkenalkan kepada 19 mata pelajaran. Soalan/tugasan kerja kursus akan disediakan oleh MPM. Kerja kursus akan dilaksanakan sama ada pada setiap penggal atau pada penggal tertentu sahaja mengikut keperluan mata pelajaran.

Pemeriksaan PBS akan dibuat oleh guru mata pelajaran sendiri bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala pemantauan dan penyelarasan PBS akan dikendalikan oleh MPM sama ada di peringkat zon atau peringkat pusat. Bagi sekolah swasta, sekolah integriti, dan calon persendirian individu, pemeriksa PBSnya akan dilantik oleh MPM. MPM juga menyediakan Manual Guru dan Manual Pelajar bagi setiap mata pelajaran untuk memberi panduan dan rujukan kepada semua yang terlibat dalam pengendalian PBS demi jaminan kualitinya.

PEPERIKSAAN
Peperiksaan akhir berpusat akan ditadbirkan pada hujung setiap penggal. Kertas peperiksaan akan disediakan dan dibekalkan oleh MPM dan pemeriksaan skrip jawapan akan dijalankan oleh pemeriksa yang dilantik oleh MPM seperti amalan sekarang.

PENGGREDAN
Sistem penggredan dalam sistem pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan sistem STPM sedia ada. Skor (peringkat kertas peperiksaan atau komponen mata pelajaran) yang diperoleh oleh pelajar dalam setiap penggal akan dijumlahkan untuk menentukan gred keseluruhan mata pelajaran. Tiada prasyarat kelulusan gred minimum dalam sesuatu penggal untuk melayakkan pelajar mengikuti pengajian pada penggal yang berikutnya.


                                Gred Kertas     Gred Mata Pelajaran      NGMP            Status

                                        A                                A                     4.00          Lulus Penuh       
                                        A-                               A-                    3.67          Lulus Penuh   
                                        B+                              B+                   3.33          Lulus Penuh   
                                        B                                B                     3.00          Lulus Penuh 
                                        B-                               B-                    2.67          Lulus Penuh  
                                        C+                              C+                   2.33          Lulus Penuh
                                        C                                C                     2.00          Lulus Penuh
                                        C-                               C-                    1.67          Lulus Sebahagian
                                        D+                              D+                   1.33          Lulus Sebahagian
                                        D                                D                     1.00          Lulus Sebahagian
                                        F                                 F                     0.00          Gagal


MEMPERBAIKI KEPUTUSAN

Satu keistimewaan dalam sistem ini ialah pelajar dibenarkan untuk memperbaiki keputusan peperiksaan akhir Penggal 1 dan/atau Penggal 2 dengan menduduki semula peperiksaan akhir bagi penggal berkenaan pada hujung Penggal 3 (hujung tahun). Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi Penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir Penggal 3, iaitu selepas keputusan Penggal 3 dikeluarkan. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.

KELEBIHAN
Melalui sistem ini, beban bagi pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi setiap penggal kerana skop pengajian yang dinilai pada setiap penggal adalah pada skala kecil.

Pengenalan kepada PBS dalam sistem ini adalah selari dengan hasrat KPM untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua yang berpotensi. Hal ini juga berketepatan dengan hasrat KPM untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian agar lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil (outcome-based education) yang lebih berfokuskan pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

STANDARD DAN PENGIKTIRAFAN
Dari segi standard dan pengiktirafan, pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan STPM sedia ada. Pada umumnya, kandungan kurikulum tidak berubah. Wakil Cambridge Assessment (CA), United Kingdom akan turut serta dalam Jawatankuasa Penetapan Darjah STPM ini bagi penentuan keputusan STPM. Wakil CA ini akan memberikan pandangannya mengenai analisis keputusan peperiksaan STPM bagi setiap kertas, dan membuat keputusan bersama sebagai satu persetujuan dan pengiktirafan. Selain daripada itu, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia juga telah maklum tentang pelaksanaan Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini.

WAWASAN
Pelaksanaan sistem ini diharapkan dapat mengangkat martabat dan memperkasakan pengajian peringkat prauniversiti di tingkatan enam supaya ia lebih berkualiti dan dapat menarik lebih banyak pelajar untuk mengikutinya, di samping dapat mentransformasikan pentaksiran dan penilaian peperiksaan STPM yang lebih holistik. Dengan pelaksanaan sistem ini akan membolehkan pelajar menyesuaikan diri kepada sistem pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutama dari segi membina kemahiran mengurus diri secara berdikari. Penilaian aktiviti di peringkat sekolah turut membolehkan pelajar menjalankan kajian secara persendirian dan berkumpulan manakala pentaksiran berpusat akan menjurus kepada penyediaan pelajar ke arah sistem pendidikan yang terdapat di IPT.

Sistem pentaksiran yang mesra pelajar ini dihasratkan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki dan meningkatkan keputusan akademik mereka bagi melayakkan diri ke IPT dan membuka luas peluang pendidikan kepada semua warga Malaysia yang berpotensi.

Maklumat lanjut mengenai Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini boleh dilayari melalui portal MPM: http://www.mpm.edu.my

KADAR YURAN
(a) Yuran asas                                                               RM120.00
(b) Yuran setiap mata pelajaran                                   RM  90.00
(c) Caj menduduki semula peperiksaan akhir per kertas RM  50.00

Calon sekolah kerajaan dan calon sekolah bantuan kerajaan dikecualikan daripada membayar yuran ini. Walau bagaimanapun, calon yang ingin menduduki semula peperiksaan akhir sesuatu penggal akan dikenakan caj sebanyak RM50.00 per kertas.

Majlis Peperiksaan Malaysia
Persiaran 1, Bandar Baru Selayang
68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan

Tel: 03-61369663
Faks: 03-61361488

Portal MPM: http://www.mpm.edu.my
Pertanyaan/aduan: ppa@mpm.edu.m












Saturday 5 May 2012

Sekadar Panduan kepada Pelajar-pelajar...

7 Rahsia TIDAK LUPA Apa Yang Cikgu Ajar Dalam Kelas


1. Abaikan Semua Yang Lain Ketika Belajar    2. Cuba Teka Apa Yang Cikgu Mahu Ajar

3. Catatkan Pada Kertas Kosong                     4. Bayangkan Apa Yang Cikgu Sedang Ajar

5. Cepat-cepat Buat Latihan                             6. Minta Bantuan Guru Setelah Mencuba

                            7. Baca Semula Apa Yang Cikgu Ajar Sebelum 48 Jam




Friday 4 May 2012

PENGENALAN SUBJEK PENGAJIAN AM (STPM/S900)


     FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

                    

SUBJEK PENGAJIAN AM (STPM/S900)


Mesej daripada MPM

Sukatan Pelajaran Pengajian Am yang baharu ini digubal untuk menggantikan Sukatan Pelajaran Pengajian Am sedia ada yang telah digunakan semenjak peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2005. Sukatan pelajaran yang baharu ini akan mula digunakan pada tahun 2012. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun tersebut akan menjadi peperiksaan pertama yang menggunakan sukatan pelajaran ini. Penggubalan semula Sukatan Pelajaran Pengajian Am ini mengambil kira perubahan yang hendak dilakukan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia terhadap sistem peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang sedia ada. Melalui sistem peperiksaan yang baharu ini, pengajian di tingkatan enam akan dibahagikan kepada tiga penggal dan calon akan menduduki peperiksaan pada setiap akhir penggal. Tujuan utama Majlis Peperiksaan Malaysia memperkenalkan sistem peperiksaan yang baharu ini adalah untuk memperbaiki orientasi pengajaran dan pembelajaran di tingkatan enam supaya tidak jauh berbeza dengan orientasi pengajaran dan pembelajaran di kolej dan universiti. Penggubalan semula Sukatan Pelajaran Pengajian Am ini merupakan proses pengemaskinian tajuk, kandungan, dan kemahiran supaya selaras dengan perkembangan semasa. Sukatan pelajaran ini akan memberikan pendedahan kepada calon di peringkat prauniversiti tentang hal ehwal kenegaraan Malaysia yang meliputi tajuk-tajuk seperti Malaysia Kekal Berdaulat, Malaysia Maju dan Sejahtera, serta Malaysia dan Negara Luar. Selain itu, sukatan pelajaran ini juga memberi penekanan dalam aspek meningkatkan kemahiran menulis, mencari dan menganalisis maklumat, menyelesaikan masalah, dan berkomunikasi secara berkesan dalam kalangan calon. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan agar sukatan pelajaran ini dapat menghasilkan calon prauniversiti yang berfikiran matang, berpengetahuan luas, dan berupaya untuk menyampaikan idea secara berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi. Selain itu, sukatan pelajaran ini juga mewajibkan calon menjalankan kerja kursus. Pentaksirannya dibuat melalui penghasilan Kerja Projek. Aspek ini difikirkan penting kerana melalui kerja projek, calon bukan sahaja belajar untuk menguasai ilmu tertentu tetapi juga akan dapat menerapkan kemahiran insaniah ke dalam diri mereka melalui pengalaman yang ditempuhi semasa menyiapkan kerja tersebut. Pengalaman ini akan membantu calon dalam melaksanakan kerja kursus pada peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan. 
Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia

SUKATAN PELAJARAN 900 PENGAJIAN AM


Pengenalan
Pengajian Am ialah satu mata pelajaran peringkat STPM yang menyepadukan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam pembelajaran sepanjang hayat. Kandungan mata pelajaran ini meliputi aspek sains, sains sosial, kenegaraan, isu, dan cabaran semasa. Kemahiran yang ditekankan dalam mata pelajaran ini ialah keupayaan berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif, melaksanakan kajian saintifik, serta menggunakan pelbagai bentuk komunikasi dalam pembelajaran dan kehidupan seharian. Mata pelajaran ini juga menerapkan kesedaran tentang pengalaman manusia dan persekitarannya termasuk warisan sendiri.
Selain itu, memupuk rasa cinta akan negara, tanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain, komuniti, dan masyarakat serta hormat terhadap budaya dan masyarakat lain. 
Matlamat
Sukatan pelajaran Pengajian Am berhasrat melahirkan pelajar prauniversiti yang menguasai ilmu dan mengamalkannya secara bersepadu, berfikiran matang, berkemahiran, berakhlak, dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, bangsa, negara, dan alam sejagat. 
Objektif 
1. Ilmu 
(a) Membolehkan pelajar memahami dan menghayati isu daripada pelbagai perspektif ilmu; 
(b) Mampu memahami hubung kait ilmu daripada pelbagai disiplin dan berupaya menyepadukannya; 
(c) Memahami dan peka kepada perkembangan dan cabaran perubahan semasa persekitaran, negara, dan sejagat; 
(d) Memahami dan menghayati sistem pemerintahan negara dan tadbir urus baik. 
2. Kemahiran 
(a) Berfikiran matang dengan mengaplikasi pelbagai ilmu untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbentuk kuantitatif dan kualitatif;
(b) Berkeupayaan memahami, menganalisis, dan berkomunikasi secara berkesan; 
(c) Berkemampuan menganalisis dan mentafsir pelbagai bentuk media secara logik dan kritis; 
(d) Berkebolehan mencari dan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber;
(e) Berkebolehan belajar secara kendiri dan berterusan serta membina pengetahuan baharu dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi;
(f) Berkeupayaan menyampaikan ilmu dan pemikiran yang kritis, kreatif, dan inovatif melalui pelbagai bentuk komunikasi;
(g) Berkeupayaan berinteraksi dan bekerjasama dalam kumpulan.
3. Nilai 
(a) Percaya dan patuh kepada ajaran agama; 
(b) Bersikap patriotik dan peka tentang perkembangan serta cabaran negara; 
(c) Bersatu demi kesejahteraan bersama; 
(d) Mengutamakan kebajikan dan kepentingan umum; 
(e) Bersikap berani dalam mengutarakan idea; 
(f) Bersikap terbuka terhadap pelbagai buah fikiran, pandangan, dan cadangan; 
(g) Berintegriti dan berkeyakinan; 
(h) Bersikap proaktif dan berdaya saing secara sihat; 
(i) Menghayati budaya kerja yang positif, kreatif, dan inovatif.

 Apa yang Perlu Dikuasai dan Diketahui 

PENGGAL 1
1 Kemahiran Belajar
   1.1 Kemahiran mencari maklumat
   1.2 Kemahiran menyoal
   1.3 Kemahiran menganalisis maklumat
   1.4 Kemahiran berfikir secara kritis
   1.5 Kemahiran menyelesaikan masalah
   1.6 Kemahiran komunikasi berkesan
2 Malaysia Kekal Berdaulat
   2.1 Negara berdaulat
        2.1.1 Konsep dan ciri
        2.1.2 Pembentukan negara Malaysia
   2.2 Perlembagaan Persekutuan
        2.2.1 Peruntukan Perlembagaan Persekutuan
        2.2.2 Sistem dan struktur pemerintahan
        2.2.3 Demokrasi dan pilihan raya
   2.3 Tadbir urus negara
        2.3.1 Takrif dan ciri-ciri
        2.3.2 Sistem dan struktur pentadbiran
        2.3.3 Pelaksanaan
        2.3.4 Kepentingan dan cabaran tadbir urus baik
   2.4 Kedaulatan Malaysia
        2.4.1 Cabaran, punca, dan penyelesaian
        2.4.1.1 Pertahanan
        2.4.1.2 Sosial dan budaya
        2.4.1.3 Ekonomi
        2.4.1.4 Politik
        2.4.1.5 Sains dan teknologi
        2.4.1.6 Integrasi dan perpaduan

PENGGAL 2

3 Alih Bentuk Komunikasi
  3.1 Linear kepada bukan linear
4 Malaysia Maju Dan Sejahtera
   4.1 Petunjuk negara maju dan sejahtera
        4.1.1 Agama dan kepercayaan
        4.1.2 Ekonomi
        4.1.3 Politik
        4.1.4 Prasarana
        4.1.5 Sosial dan budaya
        4.1.6 Ekologi
        4.1.7 Sains dan teknologi
   4.2 Ideologi, wawasan, dan dasar pembangunan negara
        4.2.1 Ideologi Negara – Rukun Negara
        4.2.2 Wawasan 2020
        4.2.3 Dasar Pembangunan Negara
        4.2.3.1 Dasar Ekonomi
        4.2.3.2 Dasar Sosial dan Budaya
        4.3 Cabaran dan penyelesaian
        4.3.1 Agama dan kepercayaan
        4.3.2 Ekonomi
        4.3.3 Politik
        4.3.4 Prasarana
        4.3.5 Sosial dan budaya
        4.3.6 Ekologi
        4.3.7 Sains dan teknologi
        4.3.8 Integrasi dan perpaduan
5 Kerja Kursus (Kerja Projek)
Setiap calon STPM sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu wajib melaksanakan kerja kursus (kerja projek).

PENGGAL 3

6 Alih Bentuk Komunikasi
  6.1 Bukan linear kepada linear
7 Malaysia Dan Negara Luar
  7.1 Hubungan Diplomatik
       7.1.1 Faktor penentu dasar luar
  7.2 Penglibatan, peranan, dan sumbangan Malaysia
       7.2.1 Peringkat serantau
      7.2.2 Peringkat global
      7.3 Isu dan cabaran
      7.3.1 Sosial dan budaya
      7.3.2 Politik
      7.3.3 Ekonomi
      7.3.4 Sains dan teknologi

PEMERIHALAN PRESTASI

 Pemerihalan gred berikut menunjukkan ciri-ciri yang perlu ada bagi pencapaian sesuatu gred yang diberi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pemerihalan ini merupakan satu petunjuk umum tentang hasil pembelajaran yang diperlukan pada gred tertentu. Gred yang diberikan akan bergantung kepada markah yang diperoleh melalui kertas 1, kertas 2, kertas 3, dan kertas 4 yang memenuhi keseluruhan objektif pengajaran mata pelajaran Pengajian Am. Pemerihalan ini seharusnya dilihat dalam konteks kandungan yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran.

 Gred A 
  • Calon berupaya menjawab soalan dengan tepat dan dengan fakta yang cukup.
  • Calon memperlihatkan kemahiran kognitif, afektif, dan insaniah yang tinggi. 
  • Calon dapat menjawab soalan dengan gaya bahasa yang meyakinkan.
  • Calon menunjuk kefahaman pengetahuan tentang isu-isu yang diperoleh daripada pelbagai sumber. 
  • Calon berupaya menghubung kait pelbagai fakta dalam membincangkan sesuatu isu. Calon menggunakan pengetahuan untuk mentafsir dan menilai maklumat secara tepat, jelas, dan relevan. 
  • Calon menggunakan kemahiran menaakul, menganalisis, mentafsir, mensintesis, menilai, dan merumus. 

Gred C 
  • Calon dapat menjawab soalan dengan tepat tetapi kurang fakta.
  • Calon memperlihatkan kemahiran kognitif, afektif, dan insaniah yang sederhana.
  • Calon mengemukakan hujah yang kurang mantap. 
  • Calon menjawab soalan dengan gaya bahasa yang sederhana. 
  • Calon membuat rumusan yang kurang jitu. 
  • Calon menggunakan pengetahuan untuk mentafsir dan menilai maklumat secara jelas tetapi fakta kurang tepat. 
  • Calon dapat membincangkan sesuatu isu tetapi kurang berjaya menghubung kait pelbagai fakta.

SENARAI RUJUKAN 

Senarai rujukan di bawah ini merupakan panduan sahaja. 
1. Ahmad Atory Hussain, 2002. Kerajaan Tempatan: Teori dan Peranan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
2. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2001. Good Governance: Issues and Challenges, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
3. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2006. Pentadbiran dan Pengurusan Awam Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
4. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2007. Malaysia Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
5. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2007. Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
6. International Law Book Services (ILBS), 2007. Malaysia Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan, Selangor: International Law Book Services. 
7. Kementerian Kewangan Malaysia, Laporan Ekonomi (tahunan). 
8. Kementerian Penerangan Malaysia, Buku Rasmi Tahunan. 
9. Mohd. Majid Konting, 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
10. Perlembagaan Persekutuan (Edisi Terkini). 
11. Rancangan-Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia. 
Senarai Bacaan Umum 
Bahan-bahan bacaan hendaklah terdiri daripada berbagai-bagai jenis. Antara bahan bacaan adalah seperti yang berikut. 
1. Akhbar harian 
2. Buletin dan Risalah Kerajaan 
3. Laman Web yang relevan (contohnya Agensi-agensi Awam, NGO, dan lain-lain) 
4. Majalah tempatan dan antarabangsa


IKUT RASMI PADI SEMAKIN BERISI SEMAKIN TUNDUK


SEKIAN






Salam Pengenalan

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera..

Selamat datang ke blog saya..

Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar tingkatan enam pra-universiti tahun 2012. Saya berharap dapat membantu kalian dalam subjek Pengajian Am (STPM/900).



 ...di mana ada kemahuan...di situ ada jalan..