Friday 4 May 2012

PENGENALAN SUBJEK PENGAJIAN AM (STPM/S900)


     FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

                    

SUBJEK PENGAJIAN AM (STPM/S900)


Mesej daripada MPM

Sukatan Pelajaran Pengajian Am yang baharu ini digubal untuk menggantikan Sukatan Pelajaran Pengajian Am sedia ada yang telah digunakan semenjak peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2005. Sukatan pelajaran yang baharu ini akan mula digunakan pada tahun 2012. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun tersebut akan menjadi peperiksaan pertama yang menggunakan sukatan pelajaran ini. Penggubalan semula Sukatan Pelajaran Pengajian Am ini mengambil kira perubahan yang hendak dilakukan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia terhadap sistem peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia yang sedia ada. Melalui sistem peperiksaan yang baharu ini, pengajian di tingkatan enam akan dibahagikan kepada tiga penggal dan calon akan menduduki peperiksaan pada setiap akhir penggal. Tujuan utama Majlis Peperiksaan Malaysia memperkenalkan sistem peperiksaan yang baharu ini adalah untuk memperbaiki orientasi pengajaran dan pembelajaran di tingkatan enam supaya tidak jauh berbeza dengan orientasi pengajaran dan pembelajaran di kolej dan universiti. Penggubalan semula Sukatan Pelajaran Pengajian Am ini merupakan proses pengemaskinian tajuk, kandungan, dan kemahiran supaya selaras dengan perkembangan semasa. Sukatan pelajaran ini akan memberikan pendedahan kepada calon di peringkat prauniversiti tentang hal ehwal kenegaraan Malaysia yang meliputi tajuk-tajuk seperti Malaysia Kekal Berdaulat, Malaysia Maju dan Sejahtera, serta Malaysia dan Negara Luar. Selain itu, sukatan pelajaran ini juga memberi penekanan dalam aspek meningkatkan kemahiran menulis, mencari dan menganalisis maklumat, menyelesaikan masalah, dan berkomunikasi secara berkesan dalam kalangan calon. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan agar sukatan pelajaran ini dapat menghasilkan calon prauniversiti yang berfikiran matang, berpengetahuan luas, dan berupaya untuk menyampaikan idea secara berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi. Selain itu, sukatan pelajaran ini juga mewajibkan calon menjalankan kerja kursus. Pentaksirannya dibuat melalui penghasilan Kerja Projek. Aspek ini difikirkan penting kerana melalui kerja projek, calon bukan sahaja belajar untuk menguasai ilmu tertentu tetapi juga akan dapat menerapkan kemahiran insaniah ke dalam diri mereka melalui pengalaman yang ditempuhi semasa menyiapkan kerja tersebut. Pengalaman ini akan membantu calon dalam melaksanakan kerja kursus pada peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan. 
Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia

SUKATAN PELAJARAN 900 PENGAJIAN AM


Pengenalan
Pengajian Am ialah satu mata pelajaran peringkat STPM yang menyepadukan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam pembelajaran sepanjang hayat. Kandungan mata pelajaran ini meliputi aspek sains, sains sosial, kenegaraan, isu, dan cabaran semasa. Kemahiran yang ditekankan dalam mata pelajaran ini ialah keupayaan berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif, melaksanakan kajian saintifik, serta menggunakan pelbagai bentuk komunikasi dalam pembelajaran dan kehidupan seharian. Mata pelajaran ini juga menerapkan kesedaran tentang pengalaman manusia dan persekitarannya termasuk warisan sendiri.
Selain itu, memupuk rasa cinta akan negara, tanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain, komuniti, dan masyarakat serta hormat terhadap budaya dan masyarakat lain. 
Matlamat
Sukatan pelajaran Pengajian Am berhasrat melahirkan pelajar prauniversiti yang menguasai ilmu dan mengamalkannya secara bersepadu, berfikiran matang, berkemahiran, berakhlak, dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, bangsa, negara, dan alam sejagat. 
Objektif 
1. Ilmu 
(a) Membolehkan pelajar memahami dan menghayati isu daripada pelbagai perspektif ilmu; 
(b) Mampu memahami hubung kait ilmu daripada pelbagai disiplin dan berupaya menyepadukannya; 
(c) Memahami dan peka kepada perkembangan dan cabaran perubahan semasa persekitaran, negara, dan sejagat; 
(d) Memahami dan menghayati sistem pemerintahan negara dan tadbir urus baik. 
2. Kemahiran 
(a) Berfikiran matang dengan mengaplikasi pelbagai ilmu untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbentuk kuantitatif dan kualitatif;
(b) Berkeupayaan memahami, menganalisis, dan berkomunikasi secara berkesan; 
(c) Berkemampuan menganalisis dan mentafsir pelbagai bentuk media secara logik dan kritis; 
(d) Berkebolehan mencari dan mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber;
(e) Berkebolehan belajar secara kendiri dan berterusan serta membina pengetahuan baharu dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi;
(f) Berkeupayaan menyampaikan ilmu dan pemikiran yang kritis, kreatif, dan inovatif melalui pelbagai bentuk komunikasi;
(g) Berkeupayaan berinteraksi dan bekerjasama dalam kumpulan.
3. Nilai 
(a) Percaya dan patuh kepada ajaran agama; 
(b) Bersikap patriotik dan peka tentang perkembangan serta cabaran negara; 
(c) Bersatu demi kesejahteraan bersama; 
(d) Mengutamakan kebajikan dan kepentingan umum; 
(e) Bersikap berani dalam mengutarakan idea; 
(f) Bersikap terbuka terhadap pelbagai buah fikiran, pandangan, dan cadangan; 
(g) Berintegriti dan berkeyakinan; 
(h) Bersikap proaktif dan berdaya saing secara sihat; 
(i) Menghayati budaya kerja yang positif, kreatif, dan inovatif.

 Apa yang Perlu Dikuasai dan Diketahui 

PENGGAL 1
1 Kemahiran Belajar
   1.1 Kemahiran mencari maklumat
   1.2 Kemahiran menyoal
   1.3 Kemahiran menganalisis maklumat
   1.4 Kemahiran berfikir secara kritis
   1.5 Kemahiran menyelesaikan masalah
   1.6 Kemahiran komunikasi berkesan
2 Malaysia Kekal Berdaulat
   2.1 Negara berdaulat
        2.1.1 Konsep dan ciri
        2.1.2 Pembentukan negara Malaysia
   2.2 Perlembagaan Persekutuan
        2.2.1 Peruntukan Perlembagaan Persekutuan
        2.2.2 Sistem dan struktur pemerintahan
        2.2.3 Demokrasi dan pilihan raya
   2.3 Tadbir urus negara
        2.3.1 Takrif dan ciri-ciri
        2.3.2 Sistem dan struktur pentadbiran
        2.3.3 Pelaksanaan
        2.3.4 Kepentingan dan cabaran tadbir urus baik
   2.4 Kedaulatan Malaysia
        2.4.1 Cabaran, punca, dan penyelesaian
        2.4.1.1 Pertahanan
        2.4.1.2 Sosial dan budaya
        2.4.1.3 Ekonomi
        2.4.1.4 Politik
        2.4.1.5 Sains dan teknologi
        2.4.1.6 Integrasi dan perpaduan

PENGGAL 2

3 Alih Bentuk Komunikasi
  3.1 Linear kepada bukan linear
4 Malaysia Maju Dan Sejahtera
   4.1 Petunjuk negara maju dan sejahtera
        4.1.1 Agama dan kepercayaan
        4.1.2 Ekonomi
        4.1.3 Politik
        4.1.4 Prasarana
        4.1.5 Sosial dan budaya
        4.1.6 Ekologi
        4.1.7 Sains dan teknologi
   4.2 Ideologi, wawasan, dan dasar pembangunan negara
        4.2.1 Ideologi Negara – Rukun Negara
        4.2.2 Wawasan 2020
        4.2.3 Dasar Pembangunan Negara
        4.2.3.1 Dasar Ekonomi
        4.2.3.2 Dasar Sosial dan Budaya
        4.3 Cabaran dan penyelesaian
        4.3.1 Agama dan kepercayaan
        4.3.2 Ekonomi
        4.3.3 Politik
        4.3.4 Prasarana
        4.3.5 Sosial dan budaya
        4.3.6 Ekologi
        4.3.7 Sains dan teknologi
        4.3.8 Integrasi dan perpaduan
5 Kerja Kursus (Kerja Projek)
Setiap calon STPM sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu wajib melaksanakan kerja kursus (kerja projek).

PENGGAL 3

6 Alih Bentuk Komunikasi
  6.1 Bukan linear kepada linear
7 Malaysia Dan Negara Luar
  7.1 Hubungan Diplomatik
       7.1.1 Faktor penentu dasar luar
  7.2 Penglibatan, peranan, dan sumbangan Malaysia
       7.2.1 Peringkat serantau
      7.2.2 Peringkat global
      7.3 Isu dan cabaran
      7.3.1 Sosial dan budaya
      7.3.2 Politik
      7.3.3 Ekonomi
      7.3.4 Sains dan teknologi

PEMERIHALAN PRESTASI

 Pemerihalan gred berikut menunjukkan ciri-ciri yang perlu ada bagi pencapaian sesuatu gred yang diberi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Pemerihalan ini merupakan satu petunjuk umum tentang hasil pembelajaran yang diperlukan pada gred tertentu. Gred yang diberikan akan bergantung kepada markah yang diperoleh melalui kertas 1, kertas 2, kertas 3, dan kertas 4 yang memenuhi keseluruhan objektif pengajaran mata pelajaran Pengajian Am. Pemerihalan ini seharusnya dilihat dalam konteks kandungan yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran.

 Gred A 
  • Calon berupaya menjawab soalan dengan tepat dan dengan fakta yang cukup.
  • Calon memperlihatkan kemahiran kognitif, afektif, dan insaniah yang tinggi. 
  • Calon dapat menjawab soalan dengan gaya bahasa yang meyakinkan.
  • Calon menunjuk kefahaman pengetahuan tentang isu-isu yang diperoleh daripada pelbagai sumber. 
  • Calon berupaya menghubung kait pelbagai fakta dalam membincangkan sesuatu isu. Calon menggunakan pengetahuan untuk mentafsir dan menilai maklumat secara tepat, jelas, dan relevan. 
  • Calon menggunakan kemahiran menaakul, menganalisis, mentafsir, mensintesis, menilai, dan merumus. 

Gred C 
  • Calon dapat menjawab soalan dengan tepat tetapi kurang fakta.
  • Calon memperlihatkan kemahiran kognitif, afektif, dan insaniah yang sederhana.
  • Calon mengemukakan hujah yang kurang mantap. 
  • Calon menjawab soalan dengan gaya bahasa yang sederhana. 
  • Calon membuat rumusan yang kurang jitu. 
  • Calon menggunakan pengetahuan untuk mentafsir dan menilai maklumat secara jelas tetapi fakta kurang tepat. 
  • Calon dapat membincangkan sesuatu isu tetapi kurang berjaya menghubung kait pelbagai fakta.

SENARAI RUJUKAN 

Senarai rujukan di bawah ini merupakan panduan sahaja. 
1. Ahmad Atory Hussain, 2002. Kerajaan Tempatan: Teori dan Peranan di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
2. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2001. Good Governance: Issues and Challenges, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
3. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2006. Pentadbiran dan Pengurusan Awam Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
4. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2007. Malaysia Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
5. Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), 2007. Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. 
6. International Law Book Services (ILBS), 2007. Malaysia Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-Dasar Pembangunan, Selangor: International Law Book Services. 
7. Kementerian Kewangan Malaysia, Laporan Ekonomi (tahunan). 
8. Kementerian Penerangan Malaysia, Buku Rasmi Tahunan. 
9. Mohd. Majid Konting, 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
10. Perlembagaan Persekutuan (Edisi Terkini). 
11. Rancangan-Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia. 
Senarai Bacaan Umum 
Bahan-bahan bacaan hendaklah terdiri daripada berbagai-bagai jenis. Antara bahan bacaan adalah seperti yang berikut. 
1. Akhbar harian 
2. Buletin dan Risalah Kerajaan 
3. Laman Web yang relevan (contohnya Agensi-agensi Awam, NGO, dan lain-lain) 
4. Majalah tempatan dan antarabangsa


IKUT RASMI PADI SEMAKIN BERISI SEMAKIN TUNDUK


SEKIAN






7 comments:

  1. zhr tkm:
    isu: penggunaan baja dan racun serangga secara berlebihan menyebabkan berlakunya pencemaran tanah dan mengundang ketidakselesaan kpd penduduk

    tajuk: penggunaan baja dan racun serangga yang berbau secara berlebihan di ladang buah buahan di taman anggerik

    objektif: 1) mengenal pasti jenis baja yg digunakan oleh pengusaha
    2) mengkaji kesan penggunaan baja dan racun serangga secara berlebihan terhadap ekologi tanah dan penduduk sekitar

    asslam ckg. betul tak kk am saya?

    ReplyDelete
  2. Nak tanya..apakah pilihan kerjaya bagi pelajar pengajian am?contoh seperti politicians ke?

    ReplyDelete
  3. Nak tanya..apakah pilihan kerjaya bagi pelajar pengajian am?contoh seperti politicians ke?

    ReplyDelete
  4. Beza pengajian am dan pengajian malaysia apa yaa?

    ReplyDelete
  5. Cikgu apa nama penuh cikgu ya? Sbb saya nak letak dalam kerja kursus

    ReplyDelete
  6. Cikgu ada tak soalan spot sem 1 utk tahun 2022 ni hehehe

    ReplyDelete